Nasional

Oleh: Norzamira Che Noh
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memberi tumpuan kepada kerja mitigasi banjir di sekitar anak sungai serta sistem longkang dan perparitan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu seiring dengan mitigasi melibatkan projek seperti Projek Tebatan Banjir Sungai Langat di bawah Kerajaan Persekutuan yang memasuki fasa kedua dan ketiga.
Katanya, peralihan monsun berterusan sehingga Januari atau Februari tahun depan itu memerlukan tahap kesiapsiagaan yang tinggi.
“Hari ini kejadian banjir di Taiping, Perak agak tinggi dan itu menjadi ingatan kepada kita untuk lebih berhati-hati dan bersedia.
“Mitigasi banjir memang sebahagian sedang berjalan dan ada yang disambung. Ini termasuk Projek Tebatan Banjir Sungai Langat.
“Apa yang patut dilakukan oleh kerajaan negeri adalah (mitigasi) di anak-anak sungai dan kawasan sistem longkang dan juga perparitan di PBT,” katanya selepas merasmikan pelepasan Skuad Pengurusan Bencana Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Beliau berkata, persediaan awal turut dilakukan dari segi pengukuhan ban memandangkan Selangor juga turut akan berdepan fenomena air pasang besar pada Disember ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, lebih 5,000 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi termasuk kesihatan digerakkan dalam menghadapi sebarang kemungkinan akibat MTL itu.
Katanya, kesediaan rakyat juga perlu dipertingkatkan dengan menyedari aspek perubahan iklim yang boleh mencipta suasana tidak dijangkakan seperti kejadian ribut yang berlaku di Sijangkang, Kuala Langat baru-baru ini.

