
Oleh: Deerina Sheikh Faisal
SEPANG: Bakal jemaah haji diingatkan supaya membuat semakan latar belakang syarikat yang menawarkan pakej ibadah haji bagi mengelakkan diri terjerat dengan tawaran tidak wujud serta harga yang tidak munasabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, setiap kali wujud ruang seperti Visa Mujamalah atau Visa Furada yang tidak melalui pengetahuan Tabung Haji, syarikat tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan menipu bakal jemaah.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan rakyat Malaysia, khususnya mereka yang berniat menunaikan haji tahun ini, supaya tidak terperangkap dengan syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Haji, Umrah & Pelancongan ke-4 hari ini.
Beliau berkata, syarikat sedemikian lazimnya menawarkan harga tidak masuk akal seperti RM15,000 hingga RM20,000, sebelum wang jemaah lesap dan mereka terkandas tanpa permit sah untuk menunaikan haji.
Dasar kerajaan Arab Saudi pula menetapkan bahawa hanya jemaah dengan permit sah dibenarkan menunaikan haji, dan penguatkuasaan dijangka lebih ketat tahun ini.
Selain itu, Mohd Naim mengingatkan bahawa 31 syarikat yang diberikan lesen haji secara konsisten setiap tahun adalah pilihan paling selamat untuk bakal jemaah, selain tiga syarikat baharu yang turut diberikan kelulusan.
“Saya harap jemaah membuat semakan dengan Tabung Haji atau MOTAC untuk mengesahkan syarikat berlesen, supaya kita tidak menyesal kemudian hari,” katanya.
Beliau menegaskan, imej rakyat Malaysia sebagai jemaah yang berdisiplin perlu dipertahankan dan tidak boleh dicemarkan dengan tindakan segelintir pihak yang melanggar undang-undang haji Arab Saudi.

