Nasional
KUALA LUMPUR: Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2025 (DPT BLN8/2025) boleh dibuat dalam tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 23 Oktober.
Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus, DPT BLN8/2025 yang diperaku dan diwartakan semalam mengandungi 55,047 nama warga negara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos 2025 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Khairul Shahril berkata, ia turut mengandungi 13,598 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,198 pemilih bertukar kategori pengundi atau status.
“SPR menggesa warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos 2025 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN8/2025,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Beliau berkata, semakan boleh dibuat melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat Pilihan Raya Negeri (http://ppn.spr.gov.my), aplikasi dalam talian (https://myspr.spr.gov.my), aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian 03-8892 7218.
Khairul Shahril berkata, jika pemilih mendapati nama tidak disenarai dalam DPT BLN8/2025, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C manakala yang berhasrat membuat bantahan terhadap kemasukan nama mereka boleh mengisi Borang D.
Sebarang pertanyaan berkaitan semakan DPT BLN8/2025 boleh diajukan kepada SPR melalui portal rasmi atau menghubungi talian hotline SPR 03-8892 7218.