Semua parti dalam kerajaan negeri perlu penuhi aspirasi rakyat Sabah – Armizan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali. – Foto NSTP

Oleh: Essa Abu Yamin

KUALA LUMPUR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyertai kerajaan negeri baharu bahawa tanggungjawab utama mereka adalah memenuhi aspirasi rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

Beliau berkata, sebaik sahaja ADUN menjadi sebahagian daripada pentadbiran negeri, tumpuan mereka perlulah kepada penyampaian tadbir urus berkesan kepada semua rakyat Sabah serta mempertahankan hak dan kepentingan negeri.

“Agenda mendahulukan dan mengutamakan hak dan kepentingan Sabah akan menjadi teras utama sebagaimana yang termaktub dalam aku janji pilihan raya semua parti dan ADUN yang terbabit.

“Kabinet negeri bertanggungjawab memaklumkan rakyat kerangka dan asas agenda utama negeri sebaik Mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Armizan berkata, walaupun tidak ada satu gabungan parti yang mendapat majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan, namun mandat rakyat yang turun mengundi inginkan sebuah kerajaan didirikan untuk membawa perubahan yang lebih bernilai dan bermakna.

“Daripada mana pun datangnya ADUN-ADUN yang dipilih dan menjadi komponen kepada kerajaan negeri, pastikan aspirasi Sabahan dilaksanakan segera melalui sebuah kerajaan yang stabil, inklusif dan berintegriti.

“Sementara ADUN-ADUN pembangkang memainkan peranan penting semak dan imbang.

“Moga segala ikhtiar diberkati untuk merintis masa depan yang jauh lebih baik untuk Sabah dan Sabahan keseluruhannya,” katanya.

Scroll to Top