KUANTAN, 16 Dis (Bernama) — Semua urusan mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dilaksanakan mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat yang berkuat kuasa, kata Yang Dipertua DUN Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Beliau berkata setiap tindakan berlandaskan prinsip tadbir urus yang teratur, telus dan berperlembagaan.
Mohd Sharkar berkata demikian bagi menjelaskan dua perkara yang dibangkitkan melalui satu rakaman video tular di TikTok pada 12 Dis lepas, menyentuh isu berkaitan urusan tadbir DUN Pahang, khususnya usul dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dan pelaksanaan embargo terhadap dokumen persidangan.
“Saya mengambil maklum bahawa Ahli Dewan Negeri Pahang kawasan Cheka (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) telah membangkitkan isu ketiadaan dokumen perincian usul bagi tujuan penelitian dan perbahasan.
“Untuk penjelasan, amalan tidak mengedarkan dokumen perincian usul kepada Ahli Dewan telah lama dipraktikkan, dan selaras dengan amalan di beberapa DUN lain seperti Johor, Sarawak, Kelantan, Pulau Pinang dan Melaka,” katanya menerusi kenyataan media malam ini.
Berhubung dakwaan sesuatu usul tidak dimasukkan atau tidak diagendakan dalam AUM, Mohd Sharkar berkata perkara itu tidak benar.
Beliau berkata dua usul yang dirujuk itu, iaitu Usul Penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pemulihan Bersama Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang di bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957, dan Usul Siling Peruntukan Negeri bagi Projek Rancangan Negeri Pahang 2026-2030 (RNP 2026-2030) telah dimasukkan secara rasmi dalam AUM bagi Mesyuarat Ke-3, Penggal Ke-4 DUN Pahang Ke-15 dan disenaraikan pada hari keenam persidangan, iaitu hari Jumaat, 12 Dis 2025.
Menjelaskan isu pelaksanaan embargo terhadap dokumen persidangan, beliau berkata tindakan berkenaan selaras dan mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat DUN Pahang.
“Secara amnya, semua Kertas Mesyuarat, RUU dan Risalah Mesyuarat diembargo sehingga hari dokumen itu dibentangkan. Dalam kes ini, dokumen berkaitan telah diembargo hingga 12 Dis 2025, selaras dengan tarikh pembentangan yang dinyatakan dalam AUM,” katanya.
Beliau berkata tujuan embargo untuk mengelakkan sebarang maklumat digunakan atau dipetik sebelum pembentangan rasmi, serta memastikan tertib persidangan dipelihara.
“Oleh itu, penetapan status embargo sehingga hari terakhir persidangan bukanlah suatu amalan luar biasa, sebaliknya merupakan amalan lazim yang turut dipraktikkan oleh beberapa DUN lain seperti Johor, Sarawak, Kelantan, Pulau Pinang dan Melaka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata pihak DUN Pahang sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk meneliti serta mempertimbangkan perkara yang dibangkitkan oleh mana-mana Ahli Dewan atau pihak berkepentingan, sekiranya perlu, demi penambahbaikan berterusan dan pengukuhan institusi Dewan Negeri.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

