Serangan udara Israel ragut nyawa penduduk di Lubnan

Dunia

BEIRUT: Presiden Lubnan, Joseph Aoun mengecam tindakan Israel yang melancarkan serangan udara pada awal pagi Sabtu, menyasarkan kemudahan awam di selatan negara itu, sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya seorang dan mencederakan tujuh yang lain.

“Sekali lagi, selatan Lubnan menjadi sasaran pencerobohan kejam Israel terhadap kemudahan awam — tanpa sebarang justifikasi atau alasan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Aoun menyifatkan serangan terbaharu itu sebagai serius kerana ia berlaku selepas perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan di kawasan Al-Msayleh menyebabkan seorang maut dan tujuh cedera.

Sementara itu, Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA) melaporkan, pesawat tempur Israel melancarkan kira-kira 10 serangan udara yang menyasarkan kawasan penyimpanan jentera berat seperti jentolak dan penggali.

Tentera Israel mengesahkan serangan itu dalam satu kenyataan, dengan mendakwa mereka “menyerang dan memusnahkan infrastruktur Hizbullah di selatan Lubnan, termasuk jentera kejuruteraan yang digunakan untuk membina semula kemudahan militan di kawasan itu.”

Serangan terbaharu ini berlaku walaupun terdapat gencatan senjata yang dimeterai pada November lalu, selepas lebih setahun ketegangan antara Israel dan kumpulan disokong Iran itu yang memuncak kepada dua bulan peperangan terbuka. AGENSI

Scroll to Top