
Oleh: Helmi Talkah
SEPANG: Ratu karate negara, C Shahmalarani menerima durian runtuh sebanyak RM10,000 sebagai ganjaran atas kejayaannya meraih pingat perak di Kejohanan Karate Dunia di Kaherah, Mesir, Ahad lalu.
Atlet berusia 26 tahun itu, yang muncul wanita pertama Malaysia menaiki podium dunia sejak 2014, menerima insentif berkenaan dalam majlis khas penghargaan anjuran Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) di sini, hari ini.
Shahmalarani mengakui terharu dengan pengiktirafan berkenaan yang dianggap tepat pada waktunya menjelang Sukan SEA Thailand.
“Penghargaan seperti ini sangat bermakna kerana ramai tidak nampak kerja keras di belakang tabir. Ia beri motivasi tambahan kepada saya menjelang Sukan SEA,” katanya.
Selain Shahmalarani, dua rakan sepasukan turut menerima insentif iaitu Zakiah Adnan (RM2,000) dan Lovelly Anne Robberth (RM1,000), manakala ketua jurulatih R Sharmendran dan pembantunya Norfarhan Nordin masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000.
Semua insentif ditaja sepenuhnya oleh Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad.
Shahmalarani yang menyertai kategori kumite bawah 50 kilogram mendedahkan podium dunia bukan sasaran awalnya kerana fokus utama tahun ini adalah persiapan menghadapi Sukan SEA dari 9 hingga 20 Disember.
“Penyertaan di Kejohanan Dunia sebenarnya lebih kepada langkah menimba pengalaman. Untuk layak ke final sangat di luar jangkaan dan cukup istimewa buat saya,” katanya.
Dia kini memburu misi melengkapkan hatrik emas Sukan SEA selepas memenangi emas pada edisi Hanoi 2021 dan Phnom Penh 2023.

