Nasional
Oleh: Nuratikah Athilya Hassan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan berhubung dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20 akaun bank luar negara termasuk di Israel sudah selesai sejak 2022.
SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kandungan yang tular di aplikasi TikTok membabitkan isu berkenaan yang pernah dibangkitkan dalam sidang Parlimen pada 2013.
“Siasatan terhadap dakwaan itu sudah dijalankan lebih awal oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1999. Hasil siasatan mendapati tiada sebarang bukti atau keterangan yang mengaitkan Anwar dengan kesalahan jenayah rasuah atau salah guna kuasa.
“Penjelasan mengenai hasil siasatan tersebut turut direkodkan dalam akuan bersumpah oleh bekas Pengarah Siasatan BPR, Datuk Abdul Razak Idris pada 2009.
“Sebagai rekod, pihak WikiLeaks juga menafikan pernah menyiarkan sebarang senarai akaun bank milik Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti didakwa dalam sidang Parlimen berkenaan.
“Penafian itu turut dilaporkan dalam Harian Metro bertarikh 5 Oktober 2018 yang bertajuk ‘Dah 5 tahun baru Wikileak nafi’,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, SPRM mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat atau menjejaskan reputasi individu tanpa asas yang sahih.
“Penyebaran maklumat tidak benar boleh menimbulkan kekeliruan serta mengganggu ketenteraman awam.
“SPRM kekal komited melaksanakan siasatan secara bebas, telus dan berintegriti mengikut undang-undang negara,” katanya.