SINGAPURA: Singapura bakal mengenakan sekatan khusus terhadap pemimpin kumpulan Israel serta bersedia mengiktiraf negara Palestin pada masa yang sesuai.
Menteri Luar, Vivian Balakrishnan menegur ahli politik Israel yang bercakap mengenai rancangan untuk menjajah sebahagian Tebing Barat dan Gaza, dan menyatakan bahawa Singapura menggesa kerajaan Israel menghentikan pembinaan serta peluasan penempatan haram.
Balakrishnan menambah Singapura menentang sebarang cubaan mewujudkan fakta baharu di lapangan yang akan menjejaskan prospek penyelesaian dua negara, sambil memaklumkan bahawa butiran lanjut mengenai sekatan akan diumumkan pada masa akan datang.
Menteri Luar itu juga menekankan bahawa soal pengiktirafan negara Palestin bukan lagi persoalan ‘jika’, tetapi ‘bila’, dengan syarat penubuhan kerajaan Palestin yang berkesan, mengiktiraf hak kewujudan Israel dan menolak keganasan secara mutlak.
Beliau menegaskan bagi menyelesaikan konflik berlarutan secara menyeluruh, adil dan berkekalan, mesti ada satu perjanjian rundingan yang menghasilkan dua negara, Israel dan Palestin, di mana rakyat kedua-duanya hidup bersama dalam keamanan, keselamatan serta maruah.
Walaupun Singapura dan Israel menjalin hubungan diplomatik dan ketenteraan rapat sejak 1965, republik itu mengundi beberapa resolusi yang menyatakan sokongan terhadap pengiktirafan Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tahun lalu.