Singapura bakal perkenal hukuman sebat untuk ‘scammer’

Nasional

SINGAPURA: Kerajaan Singapura akan memperkenalkan hukuman enam sebatan terhadap pesalah penipuan dalam talian sebagai langkah tegas membendung kegiatan ‘scam’ yang semakin berleluasa di republik itu.

Langkah berkenaan dimaklumkan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Sim Ann ketika membentangkan pindaan terhadap Kanun Keseksaan untuk bacaan kali kedua di Parlimen, hari ini.

Sim Ann berkata, lebih AS$2.8 bilion (kira-kira RM13 bilion) kerugian direkodkan akibat penipuan dalam talian sejak 2020 hingga separuh pertama tahun ini, membabitkan sekitar 190,000 kes.

“Kita akan memperkenalkan hukuman sebat mandatori terhadap penipu dalam talian. Pesalah yang melakukan penipuan melalui komunikasi jarak jauh akan dikenakan sekurang-kurangnya enam sebatan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan turut memperketat tindakan terhadap sindiket penipuan yang menyelaras operasi secara sistematik untuk mengaut keuntungan besar.

“Ahli sindiket dan perekrut akan tertakluk kepada hukuman sebat mandatori sekurang-kurangnya enam sebatan,” jelasnya.

Mereka yang bersubahat termasuk ‘money mule’ yang menyediakan akaun bank atau kad SIM bagi tujuan jenayah boleh dikenakan sehingga 12 sebatan, menurut rang undang-undang (RUU) itu.

Jumaat lalu, Polis Singapura menyita lebih AS$115 juta (kira-kira RM540 juta) aset milik Chen Zhi, seorang taikun British-Kemboja yang didakwa menjalankan pusat buruh paksa di Kemboja sebagai ‘hotspot’ penipuan berskala besar.

Tindakan itu susulan pertuduhan yang didedahkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) terhadap Chen, 37, pengasas Prince Holding Group, yang didakwa menjadi ‘topeng’ kepada salah satu organisasi jenayah rentas negara terbesar di Asia.

Scroll to Top