SOKONGAN PENUH TERHADAP KENYATAAN TEGAS PERDANA MENTERI DI SIDANG KEMUNCAK TERGEMPAR ARAB-ISLAM, DOHA

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) — Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan tegas YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang berlangsung di Doha pada 15 September 2025. Dalam ucapan beliau, YAB Perdana Menteri dengan lantang mengecam keras serangan udara rejim Israel ke atas Doha dan menyifatkannya sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan, melanggar undang-undang antarabangsa, menceroboh kedaulatan negara berdaulat, serta menggugat keselamatan rantau. 


IKIM berpandangan bahawa serangan itu bukan sahaja merupakan ancaman terhadap Qatar, malah juga terhadap keseluruhan dunia Islam dan masyarakat dunia di samping mencabar prinsip kedaulatan negara serta menggugat keamanan antarabangsa. Sehubungan dengan itu, IKIM menggesa agar dunia Islam dan masyarakat antarabangsa segera mengambil tindakan susulan seperti berikut:

1. Malaysia dan negara-negara Islam wajar mencadangkan deraf resolusi tergempar di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengaktifkan misi ketenteraan antarabangsa atau pasukan pengaman bagi menghentikan serangan tidak berperikemanusiaan Israel.

2. Memastikan inisiatif Global Sumud Flotilla diberikan perlindungan penuh dan kebenaran untuk memasuki Gaza. Hal ini bertujuan mewujudkan koridor kemanusiaan berterusan untuk membolehkan bantuan makanan, perubatan, dan perlindungan sampai kepada rakyat Gaza.

3. Negara-negara Arab dan Islam wajar mengambil langkah tegas menghentikan sebarang hubungan rasmi dengan Israel sebagai bantahan keras terhadap kezaliman yang dilakukan.

4. Sekatan perlu dilakukan terhadap urusan import dan eksport dengan Israel bagi memberikan tekanan ekonomi yang sekali gus melemahkan sokongan terhadap rejim tersebut.

5. Meluaskan boikot dan sekatan dalam semua bentuk aktiviti seperti penyelidikan, pendidikan, budaya, dan pelancongan dengan Israel.

6. Negara Arab/Islam secara kolektif membawa kes genosid Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

IKIM berpandangan bahawa inisiatif seperti ini bukan sahaja menyelamatkan nyawa, tetapi juga memperkukuh kesedaran global bahawa isu Palestin merupakan isu kemanusiaan sejagat yang mesti ditangani secara kolektif. Selain itu, langkah ini menzahirkan kesungguhan negara Islam untuk tidak hanya mengecam secara retorik, tetapi mendorong kepada perubahan melalui mekanisme undang-undang dan politik global.

Sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September, IKIM mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat. Marilah kita bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara, mengukuhkan perpaduan nasional, serta berdiri teguh menyokong usaha YAB Perdana Menteri dalam memperjuangkan keamanan di Asia Barat serta pembebasan Palestin.

Sekian, terima kasih.
Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
17 SEPTEMBER 2025 | 24 RABIULAWAL 1447 HIJRAH

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Scroll to Top