GEORGE TOWN, 13 Nov (Bernama) — Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) menafikan dakwaan tular di media sosial baru-baru ini, kononnya perkhidmatan feri di Pulau Pinang khususnya Feri Pulau Duyung hanya dilengkapi tiga unit jaket keselamatan.
Pengerusinya Datuk Yeoh Soon Hin berkata dakwaan itu tidak benar dan boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran orang awam terhadap tahap keselamatan perkhidmatan feri dikendalikan oleh Pelabuhan Pulau Pinang.
Beliau menegaskan semua feri beroperasi di Pulau Pinang tertakluk kepada pelbagai peraturan keselamatan ditetapkan Jabatan Laut Malaysia (JLM) termasuk pemantauan Sijil Penumpang, perlindungan insurans, rekod penyelenggaraan dan pemeriksaan dok kapal.
“Setiap feri penumpang dilengkapi sebanyak 263 unit jaket keselamatan disimpan dalam kabinet khas. Sekiranya berlaku kecemasan, kru feri yang terlatih akan membantu penumpang menggunakan jaket keselamatan dengan teratur dan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tayangan video keselamatan turut dimainkan secara berterusan di ruang penumpang bagi meningkatkan kesedaran dan panduan keselamatan kepada pengguna feri.
Yeoh berkata SPPP selaku pihak berkuasa pelabuhan serta badan kawal selia Pelabuhan Pulau Pinang dan Penang Port Sdn Bhd selaku operator pelabuhan yang dilantik, sentiasa komited memastikan keselamatan penumpang berada pada tahap tertinggi.
“SPPP akan terus bekerjasama rapat dengan JLM bagi memastikan semua aspek operasi mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan. Orang awam dinasihatkan tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih, sebaliknya merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan penjelasan tepat,” katanya.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

