
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan senarai rampasan barangan milik ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing pada hari penahanannya dan ia telah ditandatangani sendiri oleh Albert.
Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM dalam satu kenyataan menyatakan, barangan tersebut telah diberikan oleh ahli perniagaan itu kepada pegawai SPRM dan satu salinan dokumen Senarai Penyitaan Harta Alih di bawah Seksyen 33 Akta SPRM 2009 telah diserahkan kepadanya pada 28 November.
“Antara barangan yang disita terdiri daripada telefon bimbit, iPad dan perakam video digital yang merupakan barang bukti.
“SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tanpa asas bahawa pegawai SPRM telah merampas barang-barang Albert Tei tanpa mengikut prosedur.
“SPRM sentiasa melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dalam bidang kuasa,” katanya.
Ia merujuk kepada satu berita yang mula-mula dikeluarkan portal Malaysia Gazette hari ini di mana peguam yang mewakili isteri Albert Tei mendakwa SPRM telah merampas barangan suaminya secara tidak sah dan memberi tempoh tiga hari sehingga Rabu ini kepada SPRM untuk mengeluarkan inventori harta yang dirampas ekoran penahanan suaminya, tiga hari lalu.

