Suami isteri nyaris langgar buaya melintang jalan

Buaya yang melintang di tengah jalan berhampiran Empangan 25, Duyong, Melaka. – Foto ihsan pembaca

Oleh: Meor Riduwan Meor Ahmad

MELAKA: “Jika Allah tak lindungi kami, mungkin kami dah ‘arwah’,” kata Siti Hasniah Hasan, 41, selepas melalui detik cemas nyaris melanggar seekor buaya yang melintang di tengah jalan berhampiran Empangan 25, Duyong, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, Siti Hasniah, yang membonceng motosikal ditunggangi suaminya, Yusmalizai Mat Jusoh, 43, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Kandang melalui laluan pintas yang sering digunakan penduduk kampung.

Menurutnya, ketika itu hujan lebat dan dan tiada kenderaan lain melalui jalan berkenaan.

“Suami memang bawa laju sebab nak cepat. Bila sampai dekat jambatan Empangan 25, kami tak nampak jalan depan kerana hujan lebat sebelum suami tiba-tiba brek kuat dan kata ada buaya,” katanya ketika dihubungi.

Suri rumah itu berkata, suaminya sempat melihat seekor buaya bersaiz besar melintang betul-betul di tengah jalan.

“Mujur sempat brek… memang jarak kami dah sangat dekat tapi buaya itu diam saja.

“Saya cepat-cepat turun dan lari ke belakang, dalam keadaan cemas itu suami sempat rakam video dan ambil gambar sebagai bukti sebelum kami terus balik,” katanya.

Siti Hasniah yang dua tahun tinggal di kawasan itu memaklumkan, kejadian buaya naik ke darat bukan pertama kali dan turut berlaku sehari sebelumnya.

“Allah saja tahu perasaan saya… sampai sekarang masih menggigil. Sebelum ini pernah nampak buaya, tapi jauh di dalam sungai,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Katanya, tempat buaya itu muncul sering menjadi laluan orang ramai dan pada sebelah petangnya ramai beriadah di situ.

“Saya hantar gambar buaya itu kepada Datuk Helmy (Ahli Dewan Undangan Negeri, Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem) dan harap pihak berwajib dapat ambil tindakan segera.

“Buaya itu saiznya besar dan berbahaya,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Aiman Syarifuddin Zainuddin, 23, berkata kejadian pertama buaya naik ke darat berlaku sekitar 10 malam Sabtu lalu.

Katanya, dia dan ahli keluarga pergi meninjau selepas dimaklumkan adik saudaranya yang terserempak dengan seekor buaya kira-kira tiga meter di tepi jalan berhampiran jambatan sama.

“Ketika sampai, buaya itu masih ada dan mulutnya terbuka. Saya terus hubungi bomba.

“Tidak lama kemudian, orang kampung berkumpul untuk lihat sendiri buaya itu dan ada yang ambil gambar serta video,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba yang tiba di lokasi tidak menangkap buaya berkenaan, sebaliknya hanya menghalaunya kembali ke sungai.

“Kami kecewa buaya itu tidak ditangkap kerana saiznya besar dan boleh membahayakan penduduk, termasuk kanak-kanak yang selalu bermain di laluan itu,” ujarnya.

Scroll to Top