Nasional

SUBANG: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat ke Arab Saudi dan Bahrain hari ini bagi lawatan negara.
Istiadat Mengucap Selamat Berangkat bersempena lawatan negara Seri Paduka Baginda berlangsung di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, bersempena istiadat berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan diiringi tembakan meriam sebanyak 21 das dan lagu Negaraku.

Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri turut hadir bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda.
Hadir sama, Tan Sri Johari Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat; Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar Negeri dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri.

Turut hadir, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi; Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan dan Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara serta Ketua-ketua Perkhidmatan.
Lawatan negara ke Arab Saudi mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-7 Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 1984.

