Sungai Pendang lepasi paras bahaya

Nasional

Oleh: Zuliaty Zulkiffli

PENDANG: Sungai Pendang melepasi tahap bahaya menyebabkan 15 kediaman di Padang Pusing, Mukim Padang Peliang dinaiki air.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, setakat ini anggotanya terus melakukan pemantauan di lokasi yang dinaiki air.

Beliau berkata, meskipun tiada hujan, beberapa rumah dinaiki air susulan paras air Sungai Pendang melepasi tahap bahaya.

“APM Pendang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir di daerah ini dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

“Hasil pemantauan juga mendapati trend air semakin menurun namun APM sentiasa bersiap sedia jika berlakunya banjir,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yuslina berkata, beberapa jalan utama yang dinaiki air kini sudah boleh dilalui.

Sehubungan itu, penduduk di daerah itu dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menyimpan dokumen penting di tempat selamat supaya tidak tenggelam dalam banjir.

Katanya, sekiranya diarahkan berpindah, orang ramai dinasihatkan bersiap sedia untuk berbuat demikian dan hubungi pasukan penyelamat sekiranya kediaman sudah dinaiki air.

Scroll to Top