Syed Saddiq ‘botak’ demi cabaran RM1 juta

Oleh: Hamzah Osman

LANGKAWI: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertekad untuk menamatkan acara sukan lasak terulung negara, Ironman Malaysia 2025 di sini, Sabtu ini dengan catatan masa bawah 13 jam.

Usaha itu dilakukan bagi meraih sumbangan RM1 juta yang dijanjikan untuk disalurkan kepada penduduk Muar sekiranya beliau berjaya menamatkan cabaran berkenaan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 32 tahun itu menyahut cabaran berkenaan yang dilontarkan syarikat pengeluar fesyen tempatan, Prima Valet (PV).

Syarikat itu menawarkan insentif lumayan sekiranya beliau berjaya menamatkan cabaran tiga disiplin, berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km dan berlari 42.2km dalam tempoh masa ditetapkan.

Menerusi perkongsian di laman Facebook dan aplikasi TikToknya malam tadi, Syed Saddiq menegaskan cabaran itu bukan untuk kepentingan diri, sebaliknya sebagai usaha membantu rakyat di kawasannya.

“Demi RM1 juta untuk Muar, saya sahut cabaran Boss @primavalet! Bring it on. 13 jam di Ironman Langkawi = RM1 juta untuk Muar. Satu pintu rezeki ditutup, 10 lagi dibuka. Alhamdulillah,” kata Syed Saddiq dalam hantaran itu.

Video ringkas yang dimuat naik turut memaparkan tangkap layar cabaran PV di Instagram berbunyi: “Bos Prima Valet nak cabar @syedsaddiq. Kalau berjaya habiskan Ironman Langkawi dalam 13 jam, bos akan sumbangkan RM1 juta untuk Muar. Ada berani???”

Bagi membuktikan kesungguhannya, Syed Saddiq turut memaparkan aksi menjalani latihan intensif dan bertindak membotakkan kepala, sambil berseloroh tindakan itu mampu menjimatkan tiga saat masa perlumbaan.

Untuk rekod, pada edisi tahun lalu beliau menamatkan perlumbaan dengan catatan 13 jam 13 minit, walaupun kehilangan kira-kira 30 minit akibat kemalangan terlanggar dahan pokok tumbang ketika berbasikal.

Acara Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi 2025 bakal menghimpunkan lebih 1,800 atlet dari 65 negara.

Scroll to Top