Tanah runtuh Pangsapuri Taman United: DBKL sedia tawar rumah transit

Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud meninjau kawasan tanah runtuh di Taman United, Seputeh. – FOTO: NSTP

Oleh: Safeek Affendy Razali

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersedia menawarkan kediaman transit kepada penghuni 52 unit rumah di Blok C, Pangsapuri Taman United, Seputeh, yang terjejas akibat tanah runtuh pada 26 November lalu.

Ini susulan kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih yang sedang dilaksanakan berhampiran unit kediaman yang berisiko.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan tanah runtuh yang dijangka mengambil masa lebih sebulan sedang dilakukan dan dijangka siap menjelang 31 Disember ini.

“Kami sudah mengeluarkan notis kepada penghuni berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan.

“Sekiranya kerja-kerja dijalankan dengan baik, penghuni boleh masuk kembali ke rumah mereka pada 1 Januari depan.

“Bagi penduduk yang mengalami kesukaran untuk mendapat tempat tinggal, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bersedia membantu menyediakan rumah transit,” katanya pada sidang media ketika hadir meninjau lokasi tanah runtuh itu hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Tambahnya, faktor usia kediaman yang dibina sejak 40 tahun lalu antara perkara yang mendorong insiden berkenaan berlaku selain aktiviti pembinaan yang sedang berlangsung di kawasan sekitar.

“Faktor lain yang turut menyumbang adalah pokok-pokok yang tumbuh dengan akar masuk ke dalam tanah sehingga menyebabkan struktur terkesan.

“Pada masa sama, hujan lebat yang melanda sudah pastinya memberikan kesan kepada struktur keseluruhan tanah di kawasan ini,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau turut meninjau lokasi tanah mendap di Jalan Masjid India serta tapak bazar Ramadan dan tapak Bazar Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Beliau berkata, pihaknya mahu melihat kesiapsiagaan DBKL serta Kumpulan IKRAM Sdn Bhd (IKRAM) yang dilantik sebagai pakar perunding dalam kajian geoteknikal ke atas struktur tanah di Jalan Masjid India itu berada pada tahap optimum.

Scroll to Top