
Oleh: Malik Muhamad
KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali diberi ‘talian hayat’ sehingga berakhir pusingan pertama Liga Super pada akhir bulan ini sebelum sebarang keputusan diumumkan.
Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, keputusan itu diambil memandangkan saingan liga pusingan pertama hanya berbaki tiga perlawanan lagi iaitu menentang Kuching City FC, Imigresen FC dan Sabah FC sebelum pusingan kedua disambung pada 2 Januari depan.
Terdahulu, Badrul Afzan diberi peluang oleh majikannya hanya tiga perlawanan sehingga pertemuan dengan Negeri Sembilan FC pada 22 November lalu sebelum tindakan drastik diambil susulan prestasi pasukan tidak konsisten.
“Pusingan pertama Liga Super belum lagi berakhir, lagipun KPI (petunjuk prestasi utama) yang kita berikan kepada jurulatih adalah lima pasukan terbaik liga.
“Jadi jika dilihat kedudukan terkini pasukan masih berada pada landasan yang terbaik, tapi pasukan tidak berada pada tahap konsisten, kita memahami kemarahan peminat.
“Sehubungan itu kami sudah membuat beberapa perbincangan dengan barisan kejurulatihan, selepas pusingan pertama liga berakhir nanti, kita akan membuat penilaian.
“Hal ini kerana dengan baki tiga perlawanan lagi pada kami pertukaran jurulatih dalam tempoh ini tidak munasabah untuk dibuat rombakan, walau bagaimanapun prestasi pasukan sentiasa dinilai oleh jawatankuasa teknikal kelab.
“Satu perkara yang sangat penting untuk dinilai dan dilihat ialah mana-mana bakat yang ada dalam sukan tidak wajar kita musnahkan bakat mereka, sebaliknya perlu dibimbing supaya wujud kesinambungan kerana kejayaan tidak akan datang secara drastik.
“Jadi dengan apa yang ada sekarang, keutamaan kami perlu mengurus kelab dengan baik supaya tidak berdepan dengan risiko yang lain, sebab ada perkara lain yang perlu ditangani,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran International Golden Monsoon Ride & Run 2025 di sebuah hotel, di sini petang tadi.

