Tiga Persatuan Pelancongan Tampil Jelaskan Kontroversi GTM 2025

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) — Pemain industri pelancongan mengeluarkan kenyataan bersama bagi menjelaskan peranan mereka dalam menganjur dan menanggung kos Majlis Makan Malam Gala Global Travel Meet (GTM) 2025, susulan kenyataan mengelirukan yang tular baru-baru ini.

Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan India Malaysia (MITTA), Persatuan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA) serta Persatuan Konsultan Malaysia My Second Home (MM2HCA) dalam kenyataan bersama hari ini menegaskan bahawa majlis berkenaan dianjur dan dibiayai sepenuhnya oleh pemain industri, bukan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) atau Tourism Malaysia.

“MOTAC bersama Tourism Malaysia hanya menggunakan acara GTM 2025 sebagai platform untuk melancarkan kalendar acara Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

“Program GTM yang pertama kali diadakan di Malaysia itu mencapai kejayaan cemerlang dengan menjana impak ekonomi melebihi RM420 juta, menghimpunkan lebih 600 pembeli antarabangsa serta lebih 100 wakil media luar negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan turut menyebut bahawa ketiga-tiga persatuan memahami kontroversi yang timbul berhubung majlis makan malam tersebut dan menyampaikan kekesalan kepada MOTAC serta Tourism Malaysia, khususnya kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Tiga persatuan itu turut menggesa supaya semua pihak menghentikan penyebaran kenyataan tidak bertanggungjawab dan mengelirukan berkaitan isu berkenaan.

Semalam, Tiong menjelaskan bahawa Tourism Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap penyediaan minuman beralkohol pada majlis makan malam gala yang diadakan sempena GTM 2025 pada 1 Okt lepas.

Beliau berkata penyediaan katering bagi majlis itu diuruskan pihak swasta dan bukan sebahagian daripada program rasmi Tourism Malaysia, sambil menambah bahawa peranan agensi itu hanya terhad kepada pelancaran kalendar acara TMM2026 di lokasi sama.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top