Tular Video Pelajar Bergaduh: Kes Selesai Cara Baik – Polis

SHAH ALAM, 16 Okt (Bernama) — Polis mengesahkan insiden pergaduhan yang tular di media sosial membabitkan sekumpulan pelajar di sebuah sekolah di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, telah diselesaikan secara baik oleh pihak yang terlibat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata terdahulu pihaknya mengesan rakaman video tular kes itu pada 8.30 pagi tadi sebelum polis hadir ke sekolah terlibat.

“Pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat turut hadir ke lokasi sama kira-kira 10 pagi bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu.

“Hasil siasatan awal mendapati tiada pelajar yang mengalami kecederaan dalam pergaduhan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Akmalrizal berkata susulan itu satu perbincangan tiga hala membabitkan pihak sekolah, ibu bapa dan waris pelajar terlibat serta polis telah diadakan.

“Semua pihak bersetuju untuk tidak mengambil tindakan lanjut serta menyelesaikan perkara ini secara berhemah dan damai,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Akmalrizal mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, tular video insiden lebih satu minit memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa pelajar dipercayai berlaku di sebuah sekolah.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top