UiTM perkukuh kemahiran wartawan masa depan dengan Newscamp 5.0

Oleh: Daniel Ahmad

KUALA LUMPUR: Media komuniti kini dianggap semakin penting dalam era pasca-pandemik, menuntut wartawan masa depan memiliki kemahiran yang lebih mendalam dan relevan.

Newscamp 5.0 terus menjadi platform penting dalam memperkukuh kemahiran kewartawanan komuniti sambil menekankan peranan media dalam perubahan sosial kepada bakal graduan bidang komunikasi dan media.

Bertemakan ‘Kewartawanan Komuniti: Pemangkin Perubahan Sosial’, program itu memberi peluang kepada pelajar memperhalusi kemahiran serta pemikiran kritikal mereka.

Program berkenaan dianjurkan oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, dengan sokongan Malaysian Press Institute (MPI) dan perkongsian profesional daripada Media Prima Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail, menyifatkan penganjuran Newscamp 5.0 sebagai ruang penting untuk memperhalusi kemahiran dan pemikiran kritikal bakal pengamal media.

“Banyak cabaran akan menanti wartawan di masa hadapan dan pastinya program ini membantu menyiapkan peserta sebelum mereka menjalani latihan praktikal,” katanya.

Antara pengisian program termasuk Workshop 1: Writing Guidance on Community News menampilkan Wartawan Penyiasatan Media Prima, Hilmi Abdul Malik yang berkongsi panduan menghasilkan laporan komuniti berimpak tinggi berasaskan penyelidikan dan tanggungjawab sosial.

Sesi kedua, ‘The Local Angle: Discovering Impactful Community Stories’, dikendalikan Wartawan Multimedia TV3 dan Penyampai Berita TV9, Mas Zharif Zhafri Aziz Desa, yang memberi panduan membangunkan laporan berita berimpak serta teknik ‘news idea pitching’.

“Peranan wartawan penting kerana mereka bukan sekadar menyampaikan maklumat tetapi membentuk insan yang berguna, berpengalaman, berilmiah, berjati diri, seperti guru yang membantu menyampaikan ilmu,” katanya.

Newscamp 5.0 yang dianjurkan oleh pelajar tahun akhir program Kewartawanan FKPM itu berjaya menarik penyertaan lebih daripada 100 pelajar dari UiTM Shah Alam sekaligus mengukuhkan komitmen UiTM dalam melahirkan generasi wartawan yang berintegriti dan berperanan sebagai pemangkin perubahan positif dalam masyarakat.

Dalam bengkel itu, Editor Penyelaras Digital Buletin TV3 merangkap Mentor dan Personaliti TV3, Azwaliza Azman, turut berkongsi panduan menyampaikan laporan dengan impak melalui kawalan suara, intonasi dan teknik penyampaian yang berkesan.

Scroll to Top