Nasional
Oleh: Suharmin Yusuf
SEPANG: Taktik licik memujuk dan merayu pelancong untuk menggunakan perkhidmatan kereta sewa haram tumpas apabila seorang ‘ulat’ ditangkap selepas cuba menjerat dua warga Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, hasil intipan dan pemantauan dijalankan di sekitar Stesen Penguatkuasa KLIA membawa kepada tangkapan terhadap seorang individu bersama sebuah Toyota Innova yang disita untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati suspek memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada dua penumpang dari KLIA Terminal 2 ke Kuala Lumpur dengan kadar tambang RM100 yang akan dibayar apabila tiba di destinasi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya, mereka yang disabit kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Azrin berkata, individu yang bersubahat dalam aktiviti sama juga boleh didakwa di bawah Seksyen 243(1) akta berkenaan.
Dalam pada itu, Azrin turut menasihatkan orang awam supaya hanya menggunakan perkhidmatan pengangkutan sah melalui kaunter di KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2, atau tempahan aplikasi e-hailing bagi mengelak menjadi
mangsa penipuan.
“Sebarang maklumat atau aduan berkaitan boleh disalurkan ke [email protected] atau menerusi aplikasi e-aduan@JPJ dengan menyertakan butiran lengkap pengadu serta aduan,” katanya.