Oleh: Ahmad Hasbi
KUALA PILAH: Pegawai agama daerah Jempol maut selepas kereta dinaikinya dipercayai dihempap pokok tumbang dekat Kampung Dioh, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 10.50 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Nawawi Husin, 39, dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Pilah, Razidi Samik berkata, enam anggota dan pegawai bersama dua jentera bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.52 malam.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati pokok tumbang menghempap Perodua Viva.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berumur 39 tahun tersepit di dalam kenderaan itu dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bertugas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin, berkata ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Jempol menghala ke Seremban.
“Difahamkan cuaca ketika ketika kejadian tidak hujan atau ribut. Hasil siasatan awal mendapati, ketika mangsa memandu seorang diri sebatang pokok dikatakan tumbang dan menghempap kereta dinaikinya.
“Mangsa disahkan maut di lokasi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mayat dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, untuk proses bedah siasat,” katanya.