[VIDEO] Banjir Hatyai: Pelajar UUM hidap talasemia rayu bantuan segera

Nasional

Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Safiyya Khadija Ahmad Zaki, yang juga penghidap talasemia bersama rakan terkandas di sebuah hotel di Hatyai
Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Safiyya Khadija Ahmad Zaki, yang juga penghidap talasemia bersama rakan terkandas di sebuah hotel di Hatyai

Oleh: Deerina Sheikh

KUALA LUMPUR: “Kami kekurangan ubat…ubat kami dah habis,” luahan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Safiyya Khadija Ahmad Zaki, seorang penghidap talasemia yang terkandas di Hatyai akibat banjir besar sejak lima hari lalu.

Dengan nada sebak Safiyya, memaklumkan dia dan rakannya menghidap penyakit sama, Puteri Nathielly Fuchsia Mohd Fadzil, kini dalam keadaan semakin lemah dan berisiko rebah akibat kekurangan darah selepas tidak mengambil ubat susulan kehabisan bekalan yang dibawa dari Malaysia.

“Badan kami makin lemah. Kami boleh pengsan bila-bila masa sebab tak cukup darah,” katanya.

Menurut Safiyya lagi, mereka kini hanya makan bubur kosong dan mi segera, makanan yang tidak mencukupi bagi pesakit talasemia yang memerlukan protein untuk menambah darah.

“Untuk orang talasemia, memang tak cukup… kami perlukan protein untuk bantu tambah darah,” katanya.

“Kami kekurangan ubat…ubat kami dah habis,” luahan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Safiyya Khadija Ahmad Zaki, seorang penghidap talasemia yang terkandas di Hatyai akibat banjir besar sejak lima hari lalu. pic.twitter.com/6b5sooXgED

— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 26, 2025

Safiyya turut merayu bantuan segera kerana semakin ramai pelajar, termasuk perempuan yang uzur, menghadapi kekurangan bekalan asas.

“Kami sangat memerlukan bantuan makanan, minuman dan tuala wanita. Kami harap bantuan boleh sampai secepat mungkin…kami dah terlalu lemah,” tambahnya.

Kesemua pelajar kini berlindung di sebuah hotel di Hatyai bersama empat pegawai pengiring UUM, termasuk pensyarah pengiring, Dr Mohd Hadzrami Harun Rasit.

Sejak semalam, hujan yang berterusan menyebabkan paras air masih kekal tinggi sehingga mencecah tingkat satu hotel berkenaan sekali gus menyukarkan sebarang pergerakan keluar dan menghalang bantuan segera daripada sampai kepada kumpulan berkenaan.

Scroll to Top