[VIDEO] Calon SPM SMK Dusun Nanding bermalam di sekolah akibat banjir

Nasional

HULU LANGAT: Seramai 58 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding mengambil keputusan bermalam di sekolah mereka selepas kawasan sekitar dilanda banjir berikutan hujan berterusan.

Pihak pentadbiran sekolah dilapor membuat keputusan itu dengan persetujuan ibu bapa sebagai langkah keselamatan berdasarkan ramalan cuaca hujan berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Menurut Pembantu Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Hulu Langat, Rosimin Kassum, semua pelajar dibawa menggunakan trak JPAM meredah banjir di Jalan Hulu Langat kira-kira pukul 7.30 malam tadi sebelum ditempatkan di dewan sekolah.

@buletintv3 Kira-kira 50 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Dusun Nanding, di Hulu Langat ‘terpaksa’ bermalam di sekolah selepas musibah banjir melanda daerah itu. Keputusan mengejut menempatkan sebilangan calon-calon SPM itu dibuat atas usaha pantas pentadbiran sekolah berikutan ramalan cuaca hujan yang berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi. #BuletinTV3 #Banjir #HuluLangat #SPM ♬ original sound – BuletinTV3

Menurutnya lagi, keadaan cuaca ketika ini berisiko menyebabkan kenaikan paras air sungai, sekali gus boleh menjejaskan kehadiran calon untuk menduduki kertas peperiksaan pertama SPM esok, iaitu Bahasa Melayu Kertas 1 dan Kertas 2.

Hujan berterusan sejak kelmarin turut menyebabkan beberapa kawasan serta jalan utama di daerah itu dinaiki air sehingga lebih satu meter, memaksa pihak berkuasa menutup laluan berkenaan kepada semua kenderaan.

Sementara itu, di sekolah berkenaan, petugas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan makanan malam dan kemudahan untuk tidur bagi memastikan keselesaan pelajar sepanjang mereka bermalam di sekolah sebelum menghadapi peperiksaan esok.

Terdahulu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, yang melakukan tinjauan di kawasan banjir, turut meluangkan masa bertemu calon-calon SPM berkenaan untuk memberi kata-kata motivasi bagi menyuntik semangat mereka.

Scroll to Top