Oleh: Muhaamad Hafis Nawawi
PUTRAJAYA: Bekas setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan Albert Tei, akan didakwa di mahkamah esok, berkaitan tohmahan kes rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan membabitkan kedua-dua individu terbabit sudah selesai dan masing-masing akan berdepan lima pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009.
Menurutnya, siasatan dibuka pada 26 November lalu, susulan laporan sebuah portal berita, sebelum kes diklasifikasikan sebagai berkepentingan awam kerana membabitkan pegawai kanan kerajaan dan mendapat liputan meluas dalam serta luar negara.
Ujarnya, tiga individu ditahan bagi membantu siasatan iaitu Albert Tei, Shamsul Iskandar dan Sofia Rini Buyong.

“Bagaimanapun, Sofia tidak akan dituduh dan ditetapkan sebagai saksi pendakwaan.
“Seperti saya arahkan, siasatan perlu disiapkan dalam seminggu dan hari ini saya sahkan siasatan sudah lengkap.
“Esok, dua individu iaitu Albert Tei dan Datuk Seri Shamsul Iskandar akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di mana masing-masing akan berdepan empat pertuduhan iaitu Shamsul akan dituduh menerima suapan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, manakala Albert Tei dituduh memberi suapan mengikut Seksyen 17(b) akta sama.
“Kedua-duanya dijangka menghadapi satu lagi pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Azam berkata, bagi melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu, pihaknya menemubual 32 saksi tidak termasuk tiga individu yang ditahan.
“Kesemua saksi-saksi ini sudah kita rakam dan kita akan maklumkan kelak apabila sekiranya dipanggil untuk ke mahkamah.
“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pegawai yang bertungkus lumus menyiapkan siasatan ini,” tambahnya.

