Video Tular Tohmah URB: PDRM Dapatkan Kerjasama POLRI Bantu Siasatan

Gambar fail Bernama

SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan khidmat wakil agensi itu di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi merakam keterangan pemain bola sepak Indonesia yang didakwa memburukkan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam satu rakaman video yang tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata PDRM sedang berhubung rapat dengan rakan strategik di negara berkenaan untuk membantu polis melengkapkan siasatan.

Beliau berkata pihaknya telah merakam keterangan daripada anggota URB terlibat serta rakan setugas lain dengan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Keterangan daripada pihak yang mendakwa sebagai pemain bola sepak tidak dapat direkodkan kerana dia telah kembali ke negara asal.

“Jadi, kita (PDRM) mungkin menggunakan wakil PDRM di Kedutaan Malaysia di Indonesia untuk membantu merakam keterangan pemain terbabit,” katanya pada sidang media pelupusan barang kes dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan siasatan kes terkait video tular berhubung dakwaan seorang pemain bola sepak dari negara jiran yang menuduh anggota URB terbabit meminta wang ketika menjalankan tugas pemeriksaan sebuah kereta yang dinaiki sekumpulan individu termasuk pemain kelab bola sepak Indonesia itu.

Ditanya bila rakaman keterangan itu akan diambil, Shazeli berkata perkara berkenaan sedang diuruskan dengan Polis Republik Indonesia (Polri) selaku rakan strategik PDRM.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat dilaporkan berkata anggota URB itu membuat laporan polis pada 7 Nov lepas susulan kejadian berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Shazeli berkata sebanyak 14 individu yang sebahagian besar melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan berhubung kekecohan kerja-kerja pengosongan dan perobohan kawasan perumahan di Kampung Papan, Pandamaran di Klang dekat sini. 

Beliau berkata tangkapan melibatkan 11 lelaki dan tiga wanita itu direkodkan setakat semalam, susulan laporan yang dibuat oleh pihak-pihak yang melaksanakan arahan perobohan tersebut.

“Tiada penghuni rumah terlibat. Majoriti yang ditangkap adalah daripada NGO namun kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah siasatan awal dijalankan,” katanya menambah mereka disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. 

Sebelum ini, media melaporkan kerja-kerja merobohkan rumah di Kampung Papan bertukar tegang apabila terdapat individu yang mendakwa sebagai penduduk bertindak agresif membantah perobohan tersebut.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

 KATA KUNCI

 BERITA BERKAITAN

 LAGI BERITA

Scroll to Top