AYER KEROH, 26 Sept (Bernama) — Bersempena dengan sambutan World Tourism Day dan World Tourism Conference 2025, Tourism Malaysia buat julung-julung kalinya menganjurkan program Visit Malaysia Travel Meet 2025 (VMTM 2025) bagi memperkasakan inisiatif berskala besar untuk mempromosikan pelancongan domestik.
Penganjuran VMTM 2025 yang diadakan dari 26 hingga 28 September 2025 di Melaka International Trade Centre (MITC), adalah sebuah pameran pelancongan yang menawarkan dua segmen utama iaitu sesi perniagaan ke perniagaan (B2B) melibatkan penggiat industri dan syarikat korporat serta sesi perniagaan kepada pengguna (B2C) yang terbuka kepada orang ramai.
Dengan penawaran pakej-pakej pelancongan eksklusif dan harga istimewa daripada lebih 180 pempamer, VMTM 2025 bukan sahaja menyokong perkembangan industri pelancongan, malah berpotensi mendorong syarikat korporat untuk menganjurkan acara-acara mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) di Malaysia.
Dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka, penganjuran VMTM 2025 adalah bertepatan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul selain memperkenalkan kekayaan seni dan budaya negara kepada delegasi-delegasi antarabangsa yang hadir ke sambutan World Tourism Day, World Tourism Conference 2025 dan Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 di Melaka. Turut hadir ialah YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Selain menawarkan pengalaman unik dengan kepelbagaian aktiviti interaktif kraf, seni, budaya dan makanan warisan, penganjuran VMTM 2025 juga diharap dapat merancakkan lagi pergerakan pelancongan domestik (interstate dan intrastate) bagi mencapai sasaran ketibaan 280 juta pelawat domestik pada tahun 2025 sekali gus mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Antara pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan merangkumi aktiviti pengembaraan seperti sukan air, alam semula jadi, taman tema dan pengalaman budaya. Selain itu, para pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan artis, tarian kebudayaan serta aktiviti cabutan bertuah.
Penganjuran VMTM 2025 turut disertai oleh agensi dan jabatan di bawah MOTAC seperti Istana Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Lembaga Seni Visual Negara, Islamic Tourism Centre (ITC), Jabatan Warisan Negara, Kraftangan Malaysia, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) dan Hotel Seri Malaysia.
Program ini turut mendapat sokongan daripada badan pelancongan negeri seperti Tourism Melaka, Tourism Pahang, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tourism Perak, Tourism Johor dan Sarawak Tourism Board.
Tourism Malaysia