Nasional

Oleh: Noor Hidayah Tanzizi
KUALA LUMPUR: Seorang wanita dalam ketakutan apabila diugut ceti haram selepas terjerat hutang pinjaman tidak berlesen yang diiklankan di media sosial sehingga memaksanya membuat pinjaman lebih RM100,000.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pada mulanya wanita berusia 34 tahun itu membuat pinjaman sebanyak RM2,000 dengan berurusan dengan seorang ejen, namun hanya menerima RM1,400 dan sudah membuat bayaran semula sebanyak RM2,000 pada Julai lalu.
“Mangsa kemudian menerima tawaran pinjaman baharu berjumlah RM4,000 melalui pesanan WhatsApp pada 28 Oktober lalu dan enggan membuat pinjaman, namun mendakwa diugut serta dipaksa pihak berkenaan sebelum akhirnya bersetuju.
“Bagaimanapun mangsa hanya menerima RM2,100 dan sudah membayar semula sebanyak RM1,500. Selepas itu, mangsa terus menerima pelbagai tawaran pinjaman daripada nombor tidak dikenali.
“Dia kemudian membuat beberapa pinjaman baharu bagi menyelesaikan pinjaman terdahulu dan sehingga kini, dia sudah membuat 16 pinjaman dengan pihak yang mengaku sebagai pemberi pinjaman,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Katanya, jumlah keseluruhan pinjaman yang dibuat mangsa adalah RM126,600 dan bayaran semula sebanyak RM151,400, namun pihak berkenaan masih menuntut bayaran tambahan dan mengugut mangsa kerana gagal membuat pembayaran, sehingga kini.
“Hasil semakan mendapati semua transaksi bayaran dibuat ke beberapa akaun yang disyaki digunakan sindiket sama. kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” katanya.

