Wanita ditahan kes tipu tempahan inap desa, mangsa rugi RM740

Nasional

Wanita tempatan yang ditahan BSJKD Saratok kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan tempahan inap desa

Oleh: Kadir Edison

SARATOK: Seorang wanita tempatan ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil dan Digital (BSJKD) Saratok selepas disyaki terbabit dalam kes penipuan tempahan inap desa membabitkan kerugian RM740.

Tangkapan dibuat pada Isnin lalu oleh pasukan yang diketuai Inspektor Sopian Zainuddin, susulan laporan polis oleh seorang pegawai penyelidik dari Serian yang menjadi mangsa penipuan tersebut.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden (DSP) Mathew Manggie berkata, pada 9 November 2025, mangsa berusia 38 tahun memaklumkan bahawa dia telah membuat tempahan sebuah inap desa di Miri melalui akaun Facebook “Vacation Rentals” dengan pembayaran berjumlah RM740 yang dilakukan melalui transaksi dalam talian dari akaun Maybank mangsa ke akaun suspek.

Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat, mangsa dikatakan gagal menghubungi individu berkenaan melalui aplikasi WhatsApp.

“Lebih mencurigakan, ketika tiba di homestay tersebut, pihak pengurusan memaklumkan mereka tidak menerima sebarang tempahan atas nama mangsa.

“Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau memaklumkan bahawa hasil siasatan mendapati suspek berusia 48 tahun dan berasal dari Saratok berperanan sebagai keldai akaun dalam kes berkenaan.

Menurutnya lagi, suspek wanita itu turut mengaku menyerahkan butiran peribadinya kepada seorang lelaki pada 2023 untuk urusan pinjaman peribadi, selain mendakwa tidak mengetahui mengenai transaksi RM740 yang masuk ke dalam akaun terbabit.

Suspek dijangka dituduh di Mahkamah Saratok pada 12 Disember depan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Scroll to Top