Wanita Maut Dipercayai Jatuh Dari Tingkat 15 Pangsapuri Di Shah Alam

SHAH ALAM, 4 Okt (Bernama) — Polis mengesahkan menerima maklumat berhubung kejadian seorang wanita warga tempatan maut selepas dipercayai jatuh dari bangunan blok A di sebuah pangsapuri di Seksyen 16 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 6.15 petang. 

“Hasil siasatan awal mendapati seorang wanita tempatan berusia 46 tahun  jatuh dari tingkat 15 blok A sebuah pangsapuri dan telah meninggal dunia di tempat kejadian. 

“Si mati juga penghuni di pangsapuri itu dan semakan awal mendapati si mati seorang pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata pemeriksaan lanjut terhadap si mati mendapati tiada kesan pergelutan dan kecederaan berunsur jenayah dikesan pada tubuhnya.  

“Mayat telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat hari ini,” katanya.  

Mohd Iqbal berkata siasatan dijalankan di bawah mati mengejut (SDR) dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Fildza Che Ibrahim melalui talian 016-9537372.

Terdahulu, tular beberapa gambar dan video di laman sosial Thread memaklumkan ada individu maut setelah dipercayai jatuh dari bangunan pangsapuri di Seksyen 16 di sini.  

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :

Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio

Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio

Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial

TikTok : @bernamaofficial

Scroll to Top