Nasional

Oleh: Suharmin Yusuf
BENTONG: Seorang wanita maut, manakala suami dan anak perempuannya cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan, sebelum terbabas di Kilometer 44.2 Lebuhraya Karak–Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.26 pagi berhubung kemalangan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kereta terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kuantan sebelum hilang kawalan, terbabas ke kiri jalan lalu masuk ke longkang dan berpusing sebelum terbalik di lorong kiri,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Zaiham berkata, akibat kemalangan itu, penumpang hadapan yang juga isteri kepada pemandu berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu berusia 36 tahun hanya cedera ringan, manakala anak pasangan itu berusia enam tahun pula luka di kepala dan patah tangan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

