Gambar ihsan daripada orang awam
JOHOR BAHRU, 16 Okt (Bernama) — Akibat tertekan pedal minyak ketika ingin memasuki persimpangan Jalan Kuning, Taman Pelangi, di sini pagi tadi, seorang ejen insurans yang memandu kereta Mini Cooper terbabas dan melanggar lima kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 9.14 pagi ketika wanita berumur 49 tahun itu memandu dari arah Jalan Pingai.
“Semasa hendak sampai ke persimpangan jalan, wanita itu tersilap menekan pedal minyak sehingga terbabas dan melanggar lima kenderaan yang diletakkan di lot kedai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan wanita itu negatif daripada pengaruh alkohol serta kes disiasat mengikut Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 10 (1) LN 166/59.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit di media sosial yang memaparkan beberapa buah kereta rosak dengan kereta Mini Cooper itu berada di atas sebuah lagi kenderaan.
Sementara itu, saksi kejadian rata-rata terkejut menyaksikan detik cemas itu yang memperlihatkan kenderaan itu seolah-olah “terbang” sebelum terbabas dan melanggar deretan kenderaan yang parkir di kawasan itu.
Peniaga pisang goreng R. William, 60, berkata dia melihat kereta itu dipandu laju dari arah Jalan Pingai sebelum tiba-tiba “terbang” dan melanggar kenderaan lain serta terdengar bunyi dentuman yang kuat akibat perlanggaran itu.
“Di sini banyak kedai makan, tetapi semasa kejadian ada kedai yang belum beroperasi, jika tidak mungkin kemalangan ini akan jadi lebih buruk,” katanya kepada Bernama di sekitar lokasi kejadian dan menambah proses mengalihkan kenderaan terlibat oleh pihak berkuasa selesai kira-kira pukul 10.30 pagi.
Pekerja swasta Samantha Ooi, 32, pula tergamam melihat kejadian itu, namun bersyukur tiada yang cedera mahupun terkorban dalam insiden terbabit.
Tinjauan Bernama di lokasi kejadian tengah hari tadi mendapati serpihan kaca kenderaan berselerakan di sepanjang laluan berkenaan.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial