Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad @ Abu
JERTIH, 10 Nov (Bernama) — Seorang pembantu kedai wanita berdepan detik cemas apabila disamun seorang lelaki di tempat kerjanya di bandar Jertih di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad berkata dalam kejadian 6.50 petang itu mangsa berusia 20 tahun mengalami calar pada bahagian tangan dan leher apabila dua utas rantai tangan dan seutas rantai leher emas yang dipakainya dirampas secara paksa, menyebabkan wanita itu kerugian kira-kira RM15,000.
Beliau berkata mangsa membuat laporan polis pada 8.10 malam tadi memberitahu ketika dia berada di tempat kerjanya iaitu sebuah premis kedai pakaian, tiba-tiba datang seorang lelaki tidak dikenali yang memakai topi keledar warna biru dan jaket berwarna coklat.
“Suspek terus mengambil barang kemas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri dan polis masih giat mengesan suspek.
“Sebarang maklumat berkaitan suspek boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Nurazam Rapail di talian 09-695 6222 sambungan 5913,” katanya dalam kenyataan hari ini, sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup berdurasi kira-kira satu minit memaparkan seorang lelaki memakai topi keledar masuk ke dalam sebuah premis pakaian sebelum bertindak menyamun seorang wanita.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial
KATA KUNCI
BERITA BERKAITAN
LAGI BERITA

