Nasional
Oleh: Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
SEPANG: Wanita tempatan ditahan selepas disyaki cuba menyeludup masuk warga asing melalui laluan khas di kaunter pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, kelmarin.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan memaklumkan, suspek berusia 34 tahun adalah penyelia sebuah hotel di KLIA.
“Suspek cuba membawa masuk enam warga Indonesia ke kaunter pemeriksaan imigresen menggunakan slip kemudahan laluan khas (Fast Track) bagi membolehkan mereka melepasi pemeriksaan dan memasuki Malaysia.
“Wanita berusia 34 tahun itu dipercayai menerima sejumlah bayaran bagi setiap penumpang yang berjaya dibawa masuk,” jelas kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, suspek dipercayai menjalankan kegiatan tanpa pengetahuan majikan dan pada waktu cuti.
Ujarnya, siasatan lanjut mendapati beberapa kakitangan hotel turut terbabit dalam kegiatan menyeludup warga asing menggunakan modus operandi sama.
“Aktiviti ini dipercayai berlanjutan lebih setahun, membabitkan warga asing dari Indonesia, China, Vanuatu, Kemboja dan Laos.
“Sehubungan itu, suspek ditahan di bawah Seksyen 26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan kini direman di Lokap Aeropolis untuk siasatan lanjut.
“Manakala enam warga Indonesia yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya di bawah Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155],” maklum kenyataan itu lagi.