Wanita terselamat, jatuh longkang 3 meter akibat kemalangan

Nasional

Anggota Bomba menyelamatkan wanita yang terjatuh dalam longkang berkedalaman tiga meter selepas kemalangan di Tawar, Baling. – Foto JBPM

Oleh: Zuliaty Zulkiffli

BALING: Seorang penunggang motosikal wanita yang jatuh dalam longkang berkedalaman hampir tiga meter selepas kemalangan dengan kereta, hari ini dilapor selamat.

Kemalangan berlaku berhampiran stesen minyak di Tawar, di sini, difahamkan ketika wanita itu dalam perjalanan pulang dari kerja.

Insiden disedari orang awam yang kemudian menghubungi pasukan penyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.37 petang dan enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zulhelmi Baharu dikerah ke lokasi.

“Setibanya pasukan, didapati penunggang motosikal berusia 28 tahun masih berada dalam longkang berkenaan, selepas motosikal ditunggangnya kemalangan dengan kereta yang turut dipandu wanita.

“Anggota mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan mangsa disebabkan permukaan tanah licin dan berair, serta mengelak kecederaan lebih serius.

“Mangsa dibawa naik dengan pengusung sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, operasi tamat pada jam 7.27 malam.

Scroll to Top