Warden asrama didakwa cabul pelajar

Mahkamah

Oleh: Ahmad Hasbi

SEREMBAN: Seorang guru sekolah di Batu Kikir, Jempol, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar berusia 13 tahun, pada 2024.

Tertuduh, Nazrulhisham Mahmud, 46, yang juga warden asrama sekolah berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah, di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar berkenaan di bilik rehat warden di sekolah itu pada 18 Mei dan 12 Jun tahun lalu, selain di bilik sukan ragbi berlaku pada 25 Mei tahun lalu.

Justeru tertuduh didakwa melakukan dua kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) dan satu kesalahan di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat perlu melapor diri di balai polis berdekatan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport.

Sebutan semula bagi serahan dokumen dan laporan perubatan ditetapkan pada 16 Disember depan.

Scroll to Top