Oleh: Nazdy Harun
KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas cacat penglihatan kerugian hampir setengah juta ringgit selepas terjerat dengan penipuan ‘phone scam’.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 73 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 1.58 petang, semalam.
Menurutnya, mangsa yang juga pesara pada 24 Jun lalu kira-kira jam 3 petang menerima panggilan daripada individu tidak dikenali memaklumkan dirinya dari sebuah syarikat insurans.
Katanya, individu terbabit memberitahu bahawa terdapat tuntutan rawatan yang dibuat oleh mangsa di sebuah hospital di Damansara, Kuala Lumpur, yang menggunakan nama mangsa.
“Mangsa kemudian menafikannya kerana tidak pernah membuat tuntutan seperti yang dinyatakan, namun sindiket meminta mangsa membuat laporan polis kononnya mengesyaki ada individu lain yang menyalahgunakan nama mangsa,” katanya.
Menurutnya, selepas itu talian kononnya disambungkan kepada individu yang mengaku dirinya polis dan mangsa membuat laporan secara atas talian.
Beliau berkata, selepas menceritakan perkara yang berlaku, sindiket kononnya membuat semakan atas nama mangsa dan memaklumkan nama mangsa juga terbabit dengan kes pengubahan wang haram.
Katanya, bagi menyelesaikan kes itu mangsa diminta membuka satu akaun bank yang baharu dan perlu memasukkan semua wang simpanan ke dalam akaun itu untuk tujuan siasatan bagi memastikan sama ada wang dan juga aset miliki mangsa adalah dari sumber haram ataupun tidak.
“Terjerat dengan helah sindiket, mangsa kemudian meminta isterinya membuka satu akaun bank yang baharu kerana dirinya yang uzur dan mengalami cacat penglihatan.
“Selepas itu semua wang simpanan milik mangsa dan wang simpanan isterinya dimasukkan ke dalam akaun berkenaan,” katanya.
Azli berkata, mangsa juga diminta supaya tidak menggunakan akaun yang baharu dibuka itu dalam masa terdekat bagi mengelakkan wang mangsa tidak dikembalikan.
Katanya, pada 25 September lalu mangsa memaklumkan perkara itu kepada anaknya dan anaknya kemudian memaklumkan ia adalah penipuan.
Menurutnya, selepas semakan dibuat terhadap akaun bank yang baharu dibuka isterinya, mendapati terdapat beberapa kali transaksi pindahan wang yang dibuat dari akaun itu secara berperingkat dari 6 Julai hingga 14 Ogos lalu yang semuanya berjumlah RM431,742 ke akaun individu yang tidak dikenali.
“Mangsa kemudian mengesyaki dirinya sudah ditipu sehingga mengalami kerugian sebanyak RM431,742.
“Sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan miliknya dan wang simpanan milik isterinya manakala kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.