Warga emas maut dibunuh dengan cangkul

Oleh: Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

MANJUNG: Mayat seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun ditemui dipercayai dibunuh menggunakan cangkul dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Koh, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, laporan kejadian dibuat oleh ahli keluarga mangsa jam 1.30 tengah hari semalam selepas menemui mangsa sekitar jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dijumpai dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di ruang tamu rumah serta terdapat kecederaan di kepala dan muka mangsa.

“Polis turut menjumpai sebatang cangkul yang terdapat kesan darah disyaki senjata yang digunakan oleh suspek.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

“Punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan tumpul dan tajam pada bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Scroll to Top