Warga emas rugi RM659,000, terpedaya pelaburan palsu

Nasional

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas kerugian RM659,000 selepas terpedaya pelaburan palsu dalam talian, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, nombor telefon lelaki berusia 65 tahun itu telah dimasukkan dalam sebuah kumpulan ‘WhatsApp’ pelaburan pada 12 September lalu.

Menurutnya, mangsa ditawarkan pelaburan ‘off market’ yang dijalankan sebuah institusi kewangan serta berurusan dengan dua individu masing-masing seorang Wanita dan lelaki.

“Mangsa yang terpedaya dengan tawaran dan keuntungan lumayan dijanjikan membuat lapan transaksi ke dua akaun berbeza bermula 7 Oktober hingga 29 Oktober lalu sehingga RM659,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 424 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat, terutama yang melalui media sosial, aplikasi mesej atau laman web yang meragukan dan tidak mempunyai lesen sah daripada Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC).

“Mereka juga dinasihatkan untuk menyemak kesahihan syarikat pelaburan melalui laman web rasmi BNM atau SC, tidak mudah percaya dengan testimoni atau bukti keuntungan yang ditunjukkan di media sosial sekal gus elak berkongsi maklumat peribadi atau akaun bank kepada pihak tidak dikenali,” katanya.

Scroll to Top